Dua puluh empat babak per saat

Rungutan tentang HASDI

Pada mulanya saya menduga sekiranya perlu hadir ke majlis tersebut. Apalagi setelah membuat carian di fesbuk menemukan saya dengan beberapa posting dengan nama-nama pengarang dan orang persatuan komen-komen sesama mereka tentang politik persatuan, dunia sastera Terengganu yang kecil dan ia sangat menjengkelkan.

Tetapi di sudut lain pula saya melihat ini peluang untuk bertemu dengan penulis muda Terengganu, antaranya Fahd Razy dan Muziru. Justeru dengan niat tersebut, saya hadir juga, tetapi kemudian rasa menyesal pula. Sudah tentu saya bersyukur kepada Tuhan, kerana dengan menerima hadiah tersebut, saya menerima sejumlah wang. Tetapi apabila membelek bahagian laporan, karya-karya penulis bawah 21 cuma sedikit sahaja. Tiga/empat ulasan, sebuah sajak dan karya saya iaitu sebuah cerpen. Ia menghadirkan penyesalan, meskipun itulah satu-satunya karya yang saya hantar, tidak mendapat saingan dalam penilaian. Pendek kata, saya menang mudah dan cuma menggantikan pemenang mudah tahun-tahun sebelumnya. Saya berasa sangat malu dengan kemenangan itu. Sepatutnya saya hantar untuk kategori umum dan berasa tidak apa jika tidak menang pun. Namun, hadiah tersebut, Tuhan jualah yang menentukan. Apapun rasa malu saya berdikit apabila berpeluang bertemu dengan penerima lain antaranya A Muziru Idham, Fahd Razy, Syafiq Ghazali dan Saza S.

Tentang kemenangan masing-masing karya penulis? Saya tidak ada komen. Untuk penganugerahan sasterawan harapan negeri, saya cuma tertanya-tanya kesesuaian nama anugerah tersebut tanpa mempertikaikan penerimanya. Untuk kali ini saya ulang sekali lagi, nama-nama yang disebutkan di ataslah akan terus mencorakkan warna-warni karya di HASDI kelak. Puisi (dan cerpen) akan terus berkembang di tangan Fahd Razy. Muziru akan terus mekar dengan idea bernas dalam esei dan cerpennya. Syafiq akan terus mengimport masuk cerita-cerita yang aneh dan gedebe. Tahun akan datang, nama-nama inilah yang akan mendominasi HASDI dan saya harap akan ramai lagi penulis muda Terengganu yang hebat mengarang muncul kelak.

Membelek Kembali Dewan Sastera 2017

Apabila membaca majalah dies atau tisi, saya ada tabiat untuk meninggalkan dahulu tulisan SN dan esei-esei fokus. Saya akan terus melompat ke puisi, kemudian cerpen. Setelah itu barulah saya belek semula bahagian bukan kreatif.


Saya mulakan dengan membaca kolum Baha Zain, dari DS Bil 12 menurun ke Bil 1. Ya, Baha Zain antara sasterawan kita yang masih utuh membantah DLP. Kemudian saya baca kolum Muhammad Haji Salleh. Cerita-ceritanya sangat menarik, dan saya perasan, bahasa penceritaan beliau sangat lembut dan terang tak seperti sajaknya yang tegas dan keras kadangkala. Kemudian saya belek Emmamalia Kemala,  meskipun skeptik dengan beliau, namun masih saja saya baca. Kemudian... Saya terbelek kembali Sinemata tulisan Azrin Fauzi di DS Bil. 9 dan saya berasa ingin menulis sesuatu, mungkin ia sebuah cerpen atau sajak, atau esei atau... Mungkin saya telah menulisnya. Atau mungkin tidak. Fikiran saya bersilih ganti memutarkan sekian babak per saat, sajak-sajak yang tak siap, fikiran yang tak selesai, buku yang belum dibaca, buku yang belum tiba, cinta yang tak sampai, kertas-kertas keras bergumpal di bawah meja, papan kekunci, kipas yang berpusing, tilam yang senyap terbaring, tangan yang diam, tidur tanpa mimpi dan esok yang tak menjanjikan apa-apa.

Ulasan

Catatan Popular